SERIAN: Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta pikap di Jalan Kuching-Sri Aman, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.38 malam membabitkan lelaki berumur 65 tahun.

Katanya, kemalangan berlaku ketika kereta pikap yang bergerak lurus dari arah Sri Aman menuju ke Serian.

“Apabila sampai ke lokasi, pikap tersebut telah terlanggar mangsa yang ketika itu berjalan kaki di bahagian tengah jalan.

“Pemandu kenderaan tidak nampak pejalan kaki disebabkan keadaan di lokasi kemalangan gelap dan tiada lampu jalan serta keadaan cuaca pada masa itu hujan renyai-renyai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

“Jenazah mangsa telah di bawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak