FOTO: RAMIDI

KUCHING: Walaupun Malaysia mempunyai lebih banyak tarikan, tetapi pelancong antarabangsa berbelanja paling sedikit di sini berbanding negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sri Nancy Shukri berkata, antara sebab utama adalah produk pelancongan negara ini dinilai pada harga yang rendah.

“Mengikut data perbelanjaan pelancongan di Asean, pelancong asing berbelanja paling sedikit di Malaysia walaupun kita mempunyai lebih banyak tarikan dari segi makanan, budaya dan destinasi menarik.

“Ia disebabkan barangan dan perkhidmatan kita ditetapkan pada harga yang rendah kerana orang ramai beranggapan bahawa produk itu mempunyai sedikit kualiti atau tiada nilai.

“Ini adalah salah satu cabaran utama, jadi kita perlu melakukan anjakan pemikiran dalam mempromosikan negara supaya industri pelancongan melonjak ke hadapan,”katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian pada Program Belia dalam Pelancongan di sini, hari ini.

Menurutnya, salah contoh adalah harga Hotel Hilton atau Hotel Pullman di Kuching masih rendah berbanding di Kuala Lumpur walaupun menawarkan kualiti serta perkhidmatannya yang sama.

“Hotel-hotel yang terletak di bandar raya Kuching itu ditetapkan pada kadar sedemikian kerana mungkin mereka takut penduduk menganggapnya terlalu mahal.

“Jadi kita kena ubah mentaliti orang ramai bahawa kualiti perkhidmatan di Sarawak sangat rendah,” tegasnya.

Suara Sarawak