Abdul Karim melancarkan program What About Kuching (WAK) 2022 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Tukang kraf berpengalaman dalam industri kraf tangan di negeri ini disarankan untuk mengajar dan berkongsi kemahiran mereka dengan generasi muda.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi memastikan kesinambungan pembuatan seni kraf tangan terus dipelihara.

“Institusi pengajian tinggi seperti Unimas, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, LimKokWing, UCSI dan lain-lain juga mesti memainkan peranan dalam menyebarkan kreativiti dalam kalangan anak muda kita.

“Ia sekali gus dapat memberikan inspirasi kepada mereka untuk ke tahap yang lebih tinggi dalam apa jua bidang yang mereka pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Program What About Kuching (WAK) 2022 di sini, hari ini.

“Hari ini kita melihat banyak karya seni kontemporari menarik yang diilhamkan oleh reka bentuk unik dan tradisional menghiasi tempat kerja dan rumah.

“Saya amat berharap agar gerakan ini terus berkembang dan Sarawak menjadi kuasa besar dalam dunia seni pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, beliau menggalakkan festival seperti WAK dianjurkan pada bulan-bulan lain di bagi memeriahkan lagi program dan aktiviti yang dilaksanakan di negeri ini supaya tidak hanya tertumpu pada bulan Oktober.

Suara Sarawak