LEPAS…(dari kiri) Tan Kai, Fadillah dan Fazzrudin melepaskan para peserta sempenan larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang.

KUCHING: Pembangunan pendidikan di kawasan Petra Jaya diutamakan bagi memastikan generasi akan datang dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, agenda pembangunan pendidikan amat ditekankan kerana ia menyumbang kepada pembangunan negara.

Selain ilmu dan kemahiran, katanya, sahsiah pelajar juga penting agar mereka terus bergerak maju.

“Kami di peringkat parlimen dan juga peringkat Dun, Yang Berhormat Fazzruddin sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak sekolah kerana pembangunan dalam peringkat sekolah itu sendiri salah satu daripada agenda pembangunan Petra Jaya.

“Ia agar mereka dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang, di sini, hari ini.

Program turut dihadiri Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Tan Kai.

Dalam pada itu, Fadillah turut menyampaikan peruntukan kepada SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang untuk menambah kemudahan yang diperlukan.

“Ia kerana permintaan kemasukan ke sekolah di kawasan ini juga meningkat. Bukan hanya masyarakat Cina yang belajar di sini, tetapi bumiputera pun ramai (bersekolah) di sini,” ujarnya.

SENAM…Fadillah (empat kiri) melakukan senaman sebelum melepaskan para peserta program larian larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang. Turut kelihatan Tan Kai (lima kiri)

Suara Sarawak