Gambar hiasan

KUCHING: Pemberian khas kepada Sarawak tidak boleh lagi diberikan secara ‘one-off’ dalam Belanjawan 2023 kerana ada peningkatan hasil diperolehi Kerajaan Persekutuan dan pengiraan atas formula berkenaan harus diselaraskan, kata Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongres Kebangsaan Dayak (DNC).

Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang dan Presiden DNC Paul Daja menegaskan Perkara 112D perlu disemak semula dengan harus mengambil kira peningkatan berskala geran tersebut mulai dari 1974 iaitu tahun ia terhenti selain tunggakan geran khas dari 1974 hingga 2019 dan seterusnya 2022.

“Tunggakan ini harus diambil kira, tidak dapat dinafikan bahawa sebab utama mengapa pembangunan di Sarawak jauh ketinggalan adalah kekurangan agihan dana kepada kedua-dua wilayah tersebut.

“Malah, perlu melihat kerangka keperluan negeri kerana Sarawak merupakan negeri yang luas dan mempunyai penduduk yang agak besar jumlahnya,” katanya menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.

Wellie dan Paul berkata sebagai rakan seangkatan dalam pembentukan Malaysia, semua perkongsian iaitu hasil harus dibahagi berdasarkan kepada beberapa faktor merangkumi sumbangan Sarawak kepada kewangan negara termasuk pendapatan yang diterima Kerajaan Persekutuan melalui sumber semula jadi dan hasil yang diterima daripada cukai di Sarawak.

Katanya pemberian khas tahunan itu seharusnya menggunakan formula betul bagi mendapat jumlah yang wajar diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Peruntukan sebanyak RM16 juta kepada Sarawak sebelum ini di bawah Perkara 112D ini jelas tidak mencerminkan keperluan Sarawak dengan mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunannya serta statusnya sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia.

“Sekarang sudah 2022 dan bukan lagi 1957 atau 1963, Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia memerlukan perhatian dan peruntukan yang lebih khusus bagi memajukan negeri itu sekali gus membantu sasaran mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Menurut mereka, Sarawak merekodkan jumlah penduduk miskin tegar tertinggi sebanyak 62,930 keluarga berdasarkan data e-Kasih sehingga 15 Februari 2022 sekali gus menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan dari segi pembangunan wilayah.

Kali terakhir semakan semula pemberian geran khas itu dibuat adalah pada 1969 meskipun termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa semakan perlu dibuat setiap lima tahun.

Buat kali pertama sejak 1969 bermula pada belanjawan tahun 2020, pemberian khas tahunan sebanyak RM16 juta untuk Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah MA63 belum pernah disemak semula, kecuali dalam Belanjawan 2020.

Kerajaan terdahulu bercadang menggandakan kadar tersebut kepada RM32 juta untuk Sarawak dan akan menggandakan lagi sehingga RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Namun, pada Belanjawan 2021, pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D dikurangkan kembali kepada jumlah RM16 juta.

Presiden DNC Paul Daja

 

Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang

Suara Sarawak