KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan pembubaran Parlimen sebagai langkah kerajaan berusaha menyelamatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan semasa terutama kemungkinan negara berdepan risiko bencana banjir, pembubaran Parlimen dilihat amat tidak wajar untuk dilaksanakan.

BERCAKAP… Chong Chieng Jen menjawab soalan daripada pemberita.

“Ketika ini terutama di Sarawak, kita sedang mengalami masalah bencana banjir seperti yang berlaku di Miri dan Sibu, malah tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Sibuti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Anugerah Pelajar Sijil Tertinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai penampilan pencalonan calon Melayu pada PRU15, Chong berkata, tidak akan ada sebarang kuota kaum dalam pemilihan calon DAP untuk bertanding.

Bahkan katanya, ketika ini DAP mempunyai sedikit kerusi penyandang dan tumpuan sekarang lebih kepada kerusi tersebut.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu pada 22 September lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO berkenaan.

Suara Sarawak