Pemuda maut kena renjatan elektrik

SIBU: Seorang pemuda ditemui mati akibat renjatan elektrik di tapak pembinaan rumah di Bukit Penyau, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki yang memaklumkan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian pada jam 10.20 pagi.

Susulan itu, sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Lanang bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan menemui mayat seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam keadaan terbaring di kawasan tapak pembinaan tersebut.

“Si mati merupakan pekerja di tapak pembinaan tersebut,” ujar beliau dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zulkipli lagi, wayar elektrik bersambung dengan penjana enjin turut ditemui berhampiran mayat.

“Mangsa dipercayai telah terkena renjetan elektrik semasa membuat penyambungan dengan soket gerudi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku,” kata beliau.

Ujarnya, mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suara Sarawak