MIRI: Seorang penunggang motosikal maut setelah terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Taman Bulatan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi.

Katanya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, mangsa, lelaki berumur 21 tahun bergerak lurus dari arah Jalan Taman Bulatan.

Kereta Perodua Alza mengalami kerosakkan di bahagian hadapan kiri setelah berlanggar dengan sebuah motosikal di Jalan Taman Bulatan, Miri.

“Mangsa berlanggar dengan kenderaan Perodua Alza yang pada masa kejadian hendak masuk ke simpang sebelah kanan (Jalan Bulatan 1).

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Miri pada jam 5.48 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dada dan kepala sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson berkata, kemalangan tersebut menyebabkan motosikal mengalami kerosakan di bahagian hadapan, manakala kereta mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak