KUCHING: Seorang pemuda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh Jerry, dari Kampung Plaie Atas, Simunjan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah memerintahkan tertuduh dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman atau membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 10.40 malam, 25 Mei 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak