Pendidik harus mengemas kini diri dengan pengetahuan ekonomi baharu

SIBU: Warga pendidik digesa untuk mengemas kini diri dengan pengetahuan ekonomi baharu dalam usaha melahirkan pelajar berpengetahuan dan relevan seiring perubahan semasa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat yang mempunyai kepakaran tertentu untuk menambah nilai kepada sumber yang terdapat di negeri ini.

“Disebabkan itu, anak-anak kita mesti pakar dalam pembelajaran berkaitan sains selain menguasai data sains dengan maklumat-maklumat yang tersedia.

“Ini kerana masa depan Sarawak dalam ekonomi baharu berkehendakkan kepakaran untuk kita meneruskan usaha meningkatkan taraf ekonomi, seterusnya tenaga kerja seimbang seperti dikehendaki pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan Sekolah Menengah Sarawak Kali Ke-57 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut berusaha meningkatkan ekonomi negeri kepada ekonomi baharu sesuai dengan latihan yang diberikan kepada para pelajar.

Katanya, sekiranya anak-anak tempatan terlatih namun ekonomi masih berada di tahap yang kurang memuaskan, maka ia akan menyebabkan berlakunya kepincangan sehingga mereka yang berkemahiran mencari pekerjaan di luar negeri.

 

Suara Sarawak