Ketua Pegawai Eksekutif SV News Sdn Bhd, Dr Jeniri Amir

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif SV News Sdn Bhd, Dr Jeniri Amir menerima Pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Dato sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara terbabit antara 846 penerima darjah kebesaran dan pingat pada majlis penganugerahan di Miri, hari ini.

Dr Jeniri merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group (SMG) banyak mengendalikan kursus penulisan rencana dan teks ucapan serta analisis yang disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah di negara ini.

Dalam kalangan wartawan, beliau terkenal dengan sikapnya yang suka membaca buku telah menulis lebih 3,000 artikel dan lebih 50 buku yang antaranya Teknik Mewawancara, Buat Duit Dengan Menulis, Menulis Biografi, Rosli Dhoby: Merdeka Dengan Darah, Datu Bandar Abang Mustapha: Freedom Fighter for the Independence of Sarawak, dan Melanau di Sarawak.

Sebagai penganalisis politik terkemuka tanah air pula, Dr Jeniri banyak ditampilkan melalui pelbagai saluran TV termasuk melalui Channel News Asia di Singapura, selain dipetik pelbagai media di negara ini. Sehingga kini, Dr Jeniri menjadi buruan stesen televisyen dan media arus perdana bagi mengulas mengenai landskap terkini politik negara.

Beliau turut menerima Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2022 pada 26 Jun lalu di ibu negara selain dilantik Penasihat Program Komunikasi bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Suara Sarawak