Anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan semasa menangkap suspek di kawasan sebuah kedai makan di Matang kira-kira jam 7.30 pagi hari ini.

KUCHING: Patung singa, patung naga, pasport, tabung duit syiling, kasut sukan, lesen kenderaan, satu telefon bimbit dan dua loket kristal antara yang berjaya dirampas daripada seorang pengawal keselamatan yang disyaki memecah masuk rumah seorang ejen jual rumah di Matang, di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia 22 tahun itu dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira jam 7.30 pagi hari ini di kawasan sebuah kedai makan di Matang.

“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah suspek juga mempunyai tujuh rekod jenayah lampau iaitu dua masing-masing di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta tiga di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Sementara, Abang Zainal berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah berkenaan berusia 44 tahun kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Katanya antara barangan yang dilaporkan hilang ialah pelbagai barang kemas termasuk pasport dan wang tunai RM950, dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.

Beliau menjelaskan semasa suspek memecah masuk rumah dua tingkat itu, pengadu dan isterinya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja.

Katanya tiada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah pengadu, serta tiada saksi.

Bagaimanapun, Abang Zainal berkata siasatan mendapati dua cap jari berjaya ditimbulkan di dalam bilik tidur pengadu.

Menurutnya, suspek memecah masuk ke dalam rumah berkenaan dengan mengumpil tingkap rumah pengadu yang berjeriji.

Antara barangan yang dirampas daripada suspek.

Suara Sarawak