KUCHING: Pentadbiran kerajaan yang baik dan memulih ekonomi antara tumpuan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dalam manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, ekonomi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini perlu dipulihkan.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa dalam negara, terdapat jurang perbezaan dari segi pembangunan di Semenanjung dan Sarawak.

“Bukan sahaja kumpulan B40 malah M40, sebahagian besar mereka telah berubah bertukar status kepada B40 dari segi kuasa membeli dan dan pendapatan.

Chong Chieng Jen ketika ditemui media.

“Justeru, saya berpandangan pengagihan kekayaan dan pendapatan antara isu utama yang dihadapi rakyat Sarawak ketika ini,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Hadiah Cemerlang STPM 2021 di Ibu Pejabat DAP Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara ketika diminta mengulas mengenai keyakinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 31 kerusi Parlimen, katanya ia terpulang kepada keputusan rakyat pada PRU-15.

Penyandang kerusi Parlimen Stampin itu berkata, beliau yakin rakyat Sarawak selepas memberikan kemenangan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri yang lalu yang memerlukan semak dan imbang.

Suara Sarawak