KUCHING: Daerah Lundu mampu menjadi lubuk dalam melahirkan pemain berbakat bagi sukan bola sepak.

Ia susulan kejohanan yang bermula pada 10 September lalu berjaya memperlihatkan bakat pemain dari 16 pasukan terlibat.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Daerah Lundu, Ramlee Hassan menegaskan, ramai pemain muda berbakat mewakili pelbagai pasukan turut serta dalam pertandingan kali ini.

SERAH TAJAAN…Raymond Sim Hee Pang (lima dari kiri) menyerah piala tajaan pihaknya kepada Ramlee Hassan (tiga dari kanan) sambil disaksi Azizul Annuar Adenan (tengah).

“Secara tidak langsung, kita dapat menjadikan kejohanan ini landasan terbaik bagi mengenal pasti pemain berbakat.

“Kita percaya ada dalam kalangan pemain dari kejohanan ini mampu mencipta nama sebagai pemain profesional suatu hari kelak,” ujar Ramlee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Malis Penyerahan Piala tajaan Lea Sports Centre di salah sebuah pusat beli belah terkemuka di bandar ini, sebentar tadi.

Majlis tersebut telah disempurnakan Pengarah Urusan Lea Holdings (M) Sdn Bhd. Raymond Sim Hee Pang. Hadir sama pada majlis itu, Adun N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan serta barisan exco kelab terbabit.

Menurut Ramlee, semua perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Lundu setiap hujung minggu. Saingan dijangka berakhir pada 30 Oktober ini.

Sementara, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,000 menanti kelompok tiga pasukan terbaik.

Suara Sarawak