Mangsa bergerak lurus dari arah Jalan Stephen Yong berlanggar dengan sebuah kereta yang membelok menuju ke Taman Desa Wira.

PADAWAN: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Stephen Yong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.10 malam.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa, 48, yang bergerak lurus dari arah Jalan Stephen Yong berlanggar dengan sebuah kereta dipandu wanita, 19, yang sedang membelok ke kanan menuju ke Taman Desa Wira.

“Akibat pelanggaran, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan bertugas.

“Mangsa kemudian telah di bawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakkan selepas berlanggar dengan sebuah kereta.

Suara Sarawak