ROSAK… Motosikal mangsa mengalami kerosakkan setelah terbabit kemalangan dengan dua kereta.

KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 31, Jalan Kota Samarahan-Asajaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.40 malam.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa, 45, bergerak dari arah Lubok Punggor, Simunjan menuju ke Kota Samarahan dipercayai cuba memotong kenderaan Proton Saga di hadapannya.

“Mangsa bagaimanapun hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Bezza yang bergerak lurus dari arah bertentangan.

“Selepas berlanggar dengan kenderaan tersebut, motosikal mangsa tercampak ke sebelah kiri dan terkena pada Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motosikal mangsa mengalami kerosakkan di seluruh bahagian, Perodua Bezza mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan manakala Proton Saga mengalami kerosakkan pada bahagian sisi kanan.

Akibat kemalangan itu katanya, mangsa terus dibawa ke Pusat Jantung Sarawak untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Suara Sarawak