DATUK SERI FATIMAH

KUCHING: Inisiatif pemberian subsidi kepada ibu berdaftar di bawah e-kasih yang menghantar anak ke taska swasta bagi menggalakkan kaum wanita bekerja perlu dimantapkan semula.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah sedia ada itu tidak memberi manfaat kepada ramai wanita yang bekerja secara keseluruhan.

“Kemudahan ini diberi kepada mereka yang berdaftar dalam e-kasih. Tidak ramai wanita bekerja yang mendapat manfaat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Oleh itu katanya, strategi itu perlu dimantapkan dengan melebarkan jaringan sokongan kepada B40 dan M40 dengan kadar berpatutan dan tidak hanya tertumpu kepada yang berdaftar dalam e-kasih.

“Usaha itu penting sekiranya kerajaan mahu mengekalkan wanita dalam alam pekerjaan sekali gus membentuk sistem sokongan berlandaskan keperluan asas harian wanita bekerja,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Fatimah mengalu-alukan langkah memperkasakan wanita di peringkat kepimpinan korporat.

Beliau turut menegaskan harapan agar latihan khas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memperkasakan wanita bekerja nanti juga merangkumi Sarawak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam memberitahu, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai cukai taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

Jelasnya, ia bagi menggalakkan lebih ramai golongan wanita untuk kembali berkecimpung dalam bidang pekerjaan di negara ini.

Untuk itu katanya, kerajaan menerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan program latihan khas kepada kaum wanita serta akan mengenal pasti dan menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Setakat Oktober 2022 katanya, sejumlah 29 peratus golongan wanita memegang komposisi ahli lembaga pengarah daripada 100 senarai syarikat awam utama.

Suara Sarawak