KUCHING: Permohonan undian secara pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuka, bermula hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh pilihan raya.

“Seterusnya untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A bagi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media hendaklah memohon secara manual.

“Pemohon perlu menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my kemudian dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.

“Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan kategori 1C iaitu agensi atau organisasi, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal https://myspr.spr.gov.my/login.

Ujarnya, satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU-15 akan mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

“Ia akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Suara Sarawak