Perpaduan masyarakat berbilang bangsa kunci kepada kemakmuran

KUCHING: Rakyat Sarawak harus sentiasa bersatu hati dan berpadu tenaga untuk menjadikan negeri ini aman dan makmur.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya yang berlainan.

Oleh itu katanya, semangat perpaduan dan kerjasama di amalkan membolehkan kita hidup dalam suasana aman sejahtera.

“Secara realitinya, kita telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah kunci kejayaan serta meletakkan negeri ini setanding dengan negeri yang lain.

“Dalam menghadapi apa jua situasi yang berlaku sama ada dari segi politik mahupun ekonomi, kita hendaklah sentiasa bersatu hati dan berpadu tenaga untuk memastikan Sarawak terus aman dan makmur,” katanya berucap sempena majlis sumbangan amal Deepavali 2022 di Dewan Persatuan India Kuching, di sini, hari ini.

Sementara, seramai 60 orang penerima menerima sumbangan bakul makanan dalam majlis tersebut.

Khere Chiang menambah, amalan bersedekah ini bukan sahaja dilakukan pada musim perayaan sahaja, bahkan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Turut hadir, Presiden Persatuan India Kuching Anthony Ramanair dan Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Shankar Ram Asnani.

Suara Sarawak