KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak merangkap penyandang Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen bertegas akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan enam kerusi parlimen mereka.

Kerusi-kerusi ini, katanya penting untuk pembentukan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, dan percaya kerusi itu penting untuk dikekalkan.

“Kami berjaya menukar kerajaan pada 2018 kerana enam kerusi parlimen (dimenangi DAP di Sarawak) dan ia menunjukkan betapa pentingnya ia dalam pembentukan kerajaan persekutuan.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen ketika sidang media

“Jika kita dapat mempertahankan enam kerusi ini, saya percaya ada peluang yang tinggi untuk kita menjadi kerajaan semula,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Chong turut mendedahkan sekiranya PH berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang, mereka akan tetap menggunakan bajet yang sama seperti yang dirangka Perikatan Nasional (PN) sebelum pembubaran.

“Ini kerana penyediaan bajet biasanya mengambil masa sekitar dua bulan untuk melakukannya dan dengan keadaan hanya tinggal sebulan selepas pilihan raya umum, tidak ada masa yang cukup untuk merangka bajet baharu untuk 2023.

“Semua bajet yang dirangka mempunyai kekuatan dan kelemahannya sendiri. Semuanya bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Chong menyatakan bahawa DAP Sarawak akan menggunakan logo Roket untuk pemilihan parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.

Suara Sarawak