KUCHING: Pusingan akhir Liga Bola Sepak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Bawah 20 Tahun 2022 akan berlangsung dari 26 November hingga 3 Disember nanti.

Lantas menyaksikan pertembungan 10 pasukan terbaik termasuk dua wakil dari negara jiran iaitu Brunei FA (Brunei Darussalam) dan PSSI Kalimantan Barat (Indonesia).

Pengerusi Kejohanan, Ahmad Rodzli Hashim memberitahu, saingan sepanjang lapan hari itu akan berlangsung di Bandaraya Kuching.

MANTAP… pemain skuad bawah 20 tahun Serian FA.

Menurut Ahmad Rodzli, kesemua sepuluh pasukan terbaik itu dibahagi kepada dua kumpulan.

“Sesi undian telah berlangsung baru-baru ini. Kumpulan A terdiri daripada PPC Bintulu, Serian FA, Miri FA, Sarikei FA dan Brunei FA,” ujar beliau.

Sementara itu, lima lagi pasukan dalam Kumpulan B iaitu PC Kapit, Kuching FA, Limbang FA, Kapit FA dan PSSI Kalimantan Barat.

Tegas Ahmad Rodzli, tiga gelanggang akan diguna sepanjang saingan melibatkan kedua-dua kumpulan di Stadium Negeri, Stadium Sarawak dan Padang D, Petra Jaya.

“Kita menjangkakan saingan sengit akan berlangsung kerana kesemua pasukan terbabit berjaya melepasi peringkat zon masing-masing, manakala dua pasukan dari negara jiran yang beraksi atas tiket jemputan,” katanya.

Suara Sarawak