KUCHING: Kempen Liga Betong 2022 melabuhkan tirainya Sabtu ini. Sekali gus, bakal menyaksikan pasukan yang akan dinobat sebagai juara musim ini.

Dengan pertembungan hebat dua pasukan pilihan Saratok FA iaitu juara dari Kumpulan A dan Hermanos selaku juara Kumpulan B pada perlawanan yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Betong.

Kedua-dua pasukan terbabit berjaya melayakkan diri ke pentas final selepas mengungguli kumpulan masing-masing.

PILIHAN JUARA…Barisan pemain Saratok FA.

Saratok FA terdahulu mencetak slot ke penentuan juara yang gah dikedudukan tangga teratas Kumpulan A. Mencatat kemenangan dalam semua empat perlawanan.

Berbanding Hermanos yang layak ke pentas akhir dengan kelebihan gol yang dimiliki, berkongsi 10 mata dengan pesaing terdekat iaitu pasukan GMP FC selaku naib juara kumpulan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) Abang Suhordie Abang Zaini memberitahu, perlawanan akhir kedua-dua pasukan itu bermula pukul 3:30 petang pada tarikh tersebut.

SEMAKIN MANTAP…Pasukan Hermanos.

“Kita menjangkakan aksi sengit bakal dipamerkan kedua-dua pasukan terbabit kerana masing-masing inginkan kemenangan untuk memastikan mahkota juara dapat diperoleh.

“Masing-masing mempunyai kelebihan untuk bergelar juara, saya percaya pengemudi Saratok FA dan Hermanos sudah menyediakan pelan terbaik untuk diguna pakai pada perlawanan akhir itu kelak,” tambahnya.

Suara Sarawak