KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan pemberian biasiswa kepada rakyatnya yang menyambung pelajaran separuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut amat baik dalam membantu kerajaan membangunkan bakat rakyat negeri ini bagi menyokong usaha pembangunan yang dirancang.

“Memang Kerajaan Sarawak menyediakan biasiswa untuk pelajar kita di IPT. Namun setakat ini belum ada untuk pelajar separuh masa yang bekerja.

“Bagaimanapun, kita akan mempertimbangkan permintaan tersebut mengikut jurusan tertentu bagi membangunkan bakat rakyat negeri ini,” katanya.

Sementara menjawab soalan mengenai hala tuju pendidikan Sarawak khususnya dalam penambahbaikan fasiliti sekolah daif, katanya bidang pendidikan di bawah Perlembagaan Malaysia, pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Namun kita tetap membantu mereka seperti membayar balik pinjaman sehingga RM1 bilion bagi mempercepatkan usaha membina baharu serta memperbaiki sekolah-sekolah daif negeri ini.

“Namun malangnya ia masih tertangguh daripada sudut pelaksanaan yang dilakukan di peringkat pusat,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan juga membantu untuk mempercepatkan pembinaan beberapa sekolah seperti di Ulu Segan, Bintulu, Lingga dan Daro menggunakan peruntukan Sarawak sendiri.

Suara Sarawak