KUCHING: Seorang buruh binaan diperintahkan berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon RM1,000 tidak didepositkan serta tanpa penjamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menceroboh masuk rumah seorang lelaki berusia 43 tahun, September lepas.

Tertuduh Mohd Azlan Liza, 34, merupakan pesakit kanser tahap empat mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menceroboh masuk rumah mangsa yang beralamatkan Taman Homemart, Jalan Desa Wira, Batu Kawa, sekitar jam 6.59 pagi, 28 September lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda Maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu telah menerima pangilan telefon daripada jirannya menyatakan rumahnya telah dimasuki seorang lelaki yang tidak dikenali.

Pengadu terus menelefon pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Setiba di rumah, pengadu mendapati seorang lelaki sedang berbaring tidur di hadapan rumahnya dalam keadaan pagar berkunci.

Pihak polis terus menahan tertuduh setelah tiba di tempat kejadian.

Semasa sebutan kes, Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Namun tertuduh memohon diringankan hukuman kerana dia merupakan pesakit kanser tahap empat dan memerlukan rawatan susulan.

Suara Sarawak