Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ditemani isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib. Kredit foto: Japen

KUCHING: Lagu Sri Bulan dalam cerita Sabarudin Tukang Kasut 1966 membawa tuah kepada peserta Zon Utara Mohamad Ameerezul Maula Abdul Aziz dan Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin apabila dinobatkan sebagai johan Bintang P. Ramlee Peringkat Kebangsaan 2022 yang melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan Kuching, malam tadi.

Dengan kejayaan itu, kedua-dua peserta berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, piala dan sijil.

Manakala, naib johan dimenangi Danie Hasbullah Mohd Razi dan Norhasima Kadir dari Zon Selatan yang mendendangkan lagu duet Tanya Sama Hati lagu dalam filem Anakku Sazali 1956.

Sementara peserta Zon Sarawak diwakili Mohd Firdaus Abu Bakar dan Siti Azliyani Jasni menamatkan saingan di tempat ketiga.

Malah, pasangan itu turut dianugerahkan duet terbaik menerusi lagu Masa Yang Bahagia dari filem Merana 1954.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ditemani isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dengan tema Malam Seribu Bintang, program dwitahunan telah dimulakan sejak 1993 yang bertujuan menyuntik bakat berumur 18 hingga 45 tahun sebagai penghargaan kepada karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang juga pernah disertai peserta dari negara Brunei Darussalam, Kalimantan Barat Indonesia dan Singapura.

Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ditemani isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyaksikan persembahan Bintang P. Ramlee Peringkat Kebangsaan di Kuching. kredit foto: Japen

Suara Sarawak