Pasukan mengabadikan kenangan sejurus selesai kejohanan.

SARIKEI: Tiga pasukan mengungguli senarai teratas kejohanan terbuka petanque anjuran N.41 Kuala Rajang yang melabuhkan tirainya di Kompleks Integrasi Sukan Kampung Seberang di sini, petang semalam.

Tiga pasukan tersebut – Landas Persatuan Sukan Petanque Bahagian (PSPBK) Kuching menduduki tempat pertama, Datuk Wan (DW) Kuching naib juara dan Persatuan Sukan Petanque Bahagian Sibu (ketiga).

Tuan rumah, Persatuan Sukan Petanque Bahagian Sarikei (PepCkei) yang mewakili Sarikei menduduki senarai keempat, namun memberikan tentangan sengit sepanjang kejohanan berkenaan.

Pengerusi PepCkei Rosmaini Morshidi berkata, kejohanan anjuran bersama Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Malah katanya, pasukan menunjukkan komitmen dan semangat sukan yang tinggi walaupun terpaksa bersaing hebat untuk meletakkan kedudukan mereka dalam senarai teratas.

“Penganjuran kejohanan itu merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu dalam arena petanque, sekali gus mengetengahkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Saya juga berharap agar bilangan padang dan kualiti padang ditambah baik supaya Persatuan Sukan Petanque Bahagian Sarikei dapat menganjurkan kejohanan yang lebih besar selepas ini,” jelasnya.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM12,000 itu disertai sebanyak 87 pasukan dari seluruh Sarawak.

Kejohanan mendapat sambutan hebat pengemar petanque di Sarikei

 

Sebanyak 87 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan di Sarikei ini.

Suara Sarawak