PENYERAHAN… Rubiah (kanan) menyerahkan hadiah kepada wakil kumpulan pemenang perarakan dan sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444H Bahagian Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Cadangan kerajaan memberikan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dalam pembentangan Bajet 2023 merupakan strategi pemasaran tepat.

Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, cadangan tersebut diyakini dapat memberi sokongan dan mempromosikan lebih 8,000 usahawan-usahawan yang terlibat dalam industri kraf tangan berdaftar di Malaysia.

“Usaha tersebut jelas memperlihatkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan wajar dilaksanakan kerana ia juga sebagai usaha untuk menekankan lagi pemeliharaan hasil dan produk kraf tempatan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul 1444H Bahagian Samarahan di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Sementara itu, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia terbabit, pembelian produk tersebut boleh dibuat menerusi pejabat-pejabat kraf tangan negeri atau anak syarikat Kraftangan Malaysia.

Menurutnya, di bawah Kraftangan Malaysia, setiap pembeli akan diberikan maklumat tambahan berhubung produk-produk jualan termasuk usahawan-usahawan berdaftar yang terlibat.

“Malah ketika ini, Kraftangan Malaysia sedang membuat promosi di hotel-hotel termasuk pejabat kementerian untuk memastikan produk tempatan diberi pendedahan serta dipromosikan kepada orang luar.

“Tambahan lagi, kita juga mempunyai platform pemasaran digital seperti My Craft Shop dan E-Craft Baazar yang bukan hanya memaparkan produk tempatan, tetapi juga maklumat mengenai usahawan-usahawan yang terlibat,” katanya.

Berhubung jualan kraf di Malaysia, Rubiah berkata meskipun hasil jualan menurun disebabkan pandemik, industri tersebut berjaya mencatatkan hasil jualan kira-kira RM189 juta setakat Julai lalu.

Katanya, sebelum dilanda Covid-19, jualan kraf amat memberangsangkan meraih jualan hampir RM500 juta setahun, namun menurun semenjak pandemik mencapai lebih RM100 juta tahun lepas.

“Sementara, tahun ini kita menyasarkan untuk mencapai RM200 juta hasil jualan kraf tangan di Malaysia dan kita percaya sasaran ini mampu dicapai memandangkan statistik yang direkodkan Julai lalu.

“Dalam pada itu, pengisytiharan 3 Oktober setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia berjaya meningkatkan hasil produk kraf tempatan, sekali gus menarik minat ramai belia terlibat dalam industri berkenaan,” ujarnya.

PENYERAHAN… Rubiah (kanan) menyerahkan hadiah kepada wakil kumpulan pemenang perarakan dan sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444H Bahagian Samarahan.

Suara Sarawak