Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membuat lawatan rasmi ke Jepun mulai esok untuk mengambil bahagian sebagai panel penceramah bagi forum menangani perubahan iklim.

Menurut pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini, beliau akan berkongsi pandangannya di atas jemputan Kerajaan Metropolitan Tokyo bersama-sama dengan pelbagai penceramah antarabangsa lain dalam forum bertajuk ‘Masa Untuk Bertindak’ iaitu gerakan tindakan iklim bagi mempercepatkan usaha penyahkarbon yang berdaya maju.

Forum pada 12 Oktober ini akan dimulakan dengan ucaptama oleh Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa Fatih Birol dan diikuti dengan perbincangan panel.

Panel penceramah lain termasuk Gabenor Tokyo Yuriko Koike, Premier New South Wales, Australia Dominic Perrottet, Datuk Bandar Los Angeles Eric Garcetti, Duta Besar India ke Jepun Sanjay Kumar Verma dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Kawasaki Heavy Industries, Ltd. Pengerusi Bersama, Majlis Hidrogen Yoshinori kanehana.

Sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan selama seminggu di Tokyo, Abang Johari dan delegasinya akan melawat kilang Toyota Motor Corporation Motomachi dan bertemu dengan pengurusan Sumitomo Corporation.

Beliau akan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Kerajaan Sarawak dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd yang mahu mengembangkan kilang pembuatan sedia ada di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Beliau juga akan bertemu dengan pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, pengurusan Marubeni Corporation dan Eneos Corporation, melawat Muzium Hidrogen Tokyo dan Stesen Hidrogen Tokyo Oi.

Premier akan diiringi timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan.

Suara Sarawak