Gambar hiasan

BERBANDING parti-parti lain, Gabungan Parti Sarawak (GPS) hadir dalam Pilihan Raya Umum kali ini dengan keyakinan tinggi.

Parti itu bertarung berbekalkan sandangan 19 kerusi Parlimen, tanpa gejolak isu besar, serta berjaya memenangi hati rakyat dengan menjuarai isu tempatan dan bantuan kebajikan.

Penangan 76 daripada 82 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada tahun lalu masih berbekas, dan momentum yang wujud sebenarnya masih berbisa.

Kerana itu, parti itu tampak tenang dalam menghadapi gempa pertandingan kali ini, biarpun terdapat gegaran kecil berlaku di sana sini.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mungkin menjadi pemimpin politik Malaysia paling “nyenyak” tidur ketika ini.

Ini kerana di atas kertas, parti itu sudah mampu menguasai dua pertiga kerusi yang ditawarkan, jika keputusan PRN Sarawak pada Disember lalu diambil kira.

Ya, bukan rahsia, Abang Johari akan menggunakan formula yang sama, diulang tayang pada November ini.

Asas utama keyakinan ini tentunya kejayaan GPS menangani isu rakyat ketika Covid-19 melanda seluruh negara.

Ini diikuti dengan perjuangan menuntut hak negeri yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Tuntutan ini, biarpun tampak kecil di mata rakyat kebanyakan, sebenarnya memberi impak yang besar kepada kerajaan, kerana berlaku transisi kuasa yang bertimbun, kembali kepada negeri ini.

Dan kuasa ini, ditambah dengan tafsiran bijak terhadap Perlembagaan Persekutuan telah membawa kepada imbalan ekonomi yang lumayan kepada negeri ini, termasuk melalui implementasi cukai.

Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir kerajaan secara hambar sepanjang 22 bulan pula memberi kelebihan kepada GPS, apatah lagi setelah mereka membuat beberapa keputusan yang melukai hati rakyat negeri ini.

Rakyat negeri ini masih tidak terlupa akan tindakan mereka membatalkan beberapa projek mega termasuk projek jambatan yang amat diperlukan untuk melengkapi perjalanan rakyat negeri ini secara selesa dari Sematan ke Lawas.

Selain beberapa projek jalan yang diletakkan dalam senarai menunggu, Projek Lebuh Raya Pan Borneo turut terhenti ketika itu.

Di peringkat Kementerian Kewangan pula, Kerajaan Sarawak telah diminta untuk membayar hutang RM1 bilion terlebih dahulu, sebelum sekolah-sekolah daif yang diusahakan naik taraf dan bina semula oleh kerajaan sebelumnya dilaksanakan.

Kerajaan Sarawak melakukan pembayaran tersebut, namun Kerajaan PH ketika itu melengahlengahkan “janji” mereka.

Ini belum lagi isu-isu tempatan lain, termasuk gejolak yang berlaku di peringkat dalaman parti-parti PH, sehingga menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton dan pemecatan beberapa pemimpin utamanya.

Kesan daripada apa yang berlaku ini menyebabkan PH tidak lagi dipercayai, termasuk daripada pemimpin mereka sendiri.

Ada ahli Parlimen yang terus membisu dan malu, dan ada Adun yang bertindak keluar parti, kerana kecewa dengan kegagalan pimpinan mereka pada waktu itu.

Dan kesan besarnya terlihat jelas pada PRN Sarawak yang lalu, apabila rakyat Sarawak dan negeri-negeri seperti Johor dan Melaka menolak mereka secara total.

Perkara yang sama dijangka berlaku pada kali ini.

Untuk bersaing, pembangkang perlu menampilkan calon yang benar-benar “Gred A” — calon yang benar-benar telah terbukti berjaya dan berpengalaman dalam menjaga kebajikan rakyat.

Berdasarkan pengalaman PRN Sarawak, amat sukar untuk calon-calon pembangkang berkempen tanpa isu besar, kerana tidak wujud masalah yang benar-benar membumi.

Isu inflasi dan kemeruduman ekonomi pasti akan didendangkan, selain masalah banjir dan kerajaan tidak prihatin.

Namun isu nasional seperti ini bukan lauk yang diminati untuk “disantap” rakyat negeri ini.

Sebaliknya mereka mahu isu lokal lebih didepankan, dan ini termasuk isu berkait utiliti, kemiskinan dan Internet. Dengan pembangunan melata, termasuk projek Pan Borneo diteruskan oleh pemimpin GPS dan akan lengkap tidak lama lagi, adakah akan ada isu yang dapat diangkat oleh parti lain?

Jika anak muda cuba diracuni dengan masalah liputan Internet, penumpuan Sarawak terhadap isu ini termasuk penyediaan 1,200 menara dan kemudahan infra Internet berteraskan satelit, serta fokus kepada ekonomi digital, adalah jawapan yang sukar ditepis.

Sarawak juga dilihat cuba berdikari sendiri dengan mendahului negeri lain memiliki stesen televisyen, syarikat minyak, bank, malah pada masa depan, syarikat komunikasi dan syarikat penerbangan sendiri.

Ini sudah cukup untuk meletakkan negeri ini dalam kelasnya tersendiri. Malah apa yang berlaku kepada negeri ini sebenarnya adalah natijah keputusan Pilihan Raya Umum 2018.

Impak daripada “bebasnya” parti-parti politik Sarawak daripada naungan Barisan Nasional.

Kekalahan Kerajaan Persekutuan buat julung kalinya itu merintis ilham kepada Abang Johari bahawa hanya “kita jaga kita”.

Dan hanya kita yang dapat melaksanakan “Utamakan Sarawak”.

Justeru itu, jika dibaca di atas kertas senarai semak kempen, sukar untuk dinafikan ruang dan peluang untuk GPS menguasai PRU kali ini.

Yang tinggal, adakah parti itu berani melakukan transisi pada waktu ini. Adakah ia berani menukar calon-calon yang “berusia emas” dan menggantikannya dengan wajah baharu dan segar, seperti yang dilakukan kebanyakan parti lain di seluruh negara?

Kerana inilah waktu terbaik, sebenarnya. Dan adakah pula calon baharu yang dipilih itu memiliki kualiti yang dikehendaki?

Ketika ini, seluruh negara memerlukan pemimpin yang cekap dan mampu berkhidmat secara merakyat, bukan dinilai daripada akademik mahupun hubung warisan semata-mata.

Generasi baharu kini lebih terdidik dan cerdik dan mahu suara mereka diwakili dengan bijak.

Mereka juga tidak takut mengubah jika kerajaan yang disokong sebelum itu tidak berubah, dan memenuhi selera mereka. Ia telah terbukti.

Politiking cara lama, termasuk berkonsep naungan dan “tunjuk menunjuk” bukan lagi pilihan.

Begitu juga dengan calon-calon kitar semula, pasti bukan pilihan bijak pada masa ini.

PRU 2018 telah menukar segalagalanya. Termasuk kerumitan apabila bergelar Ahli Parlimen.

Ia bukan lagi untuk menangguk emas di lembahan.

• Rudi A endi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suara Sarawak