KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka berhadapan dengan sekurang-kurangnya tiga cabaran utama iaitu dari segi ekonomi, musim hujan dan Covid-19, kata penganalisis politik Profesor Dr Neilson Ilan Mersat.

Menurutnya dari segi ekonomi, pembubaran Parlimen dilakukan semasa keadaan ekonomi tidak menentu, dengan masalah ekonomi yang dihadapi oleh dunia turut dirasakan oleh pengundi-pengundi di Malaysia.

Menjelas lanjut, beliau berkata bahang inflasi dapat dirasakan dengan harga barang yang melonjak tinggi serta sektor yang menawarkan pekerjaan masih dalam proses pemulihan dan belum pulih sepenuhnya.

“Jumlah penduduk yang jatuh daripada M40 kepada B40 juga masih ramai dan ini menunjukkan ekonomi negara masih berada di tahap yang membimbangkan.

“Begitu juga dengan aspek kehidupan masyarakat yang perlu ditingkatkan khasnya selepas dilanda wabak Covid-19.

“Adakah keadaan yang berada dalam banyak kekurangan ini akan mempengaruhi mood mengundi untuk mengambil bahagian dalam proses penting demokrasi iaitu pilihan raya,” katanya yang dihubungi bagi mengulas mengenai pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa, hari ini.

Profesor Dr Neilson Ilan Mersat

Manakala dari segi musim hujan, pakar dalam bidang sains politik dan kajian antarabangsa itu berkata mungkin terdapat sesetengah tempat yang akan ditenggelami banjir pada masa pilihan raya.

Sehubungan itu, katanya pengundi mungkin menghadapi kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

“Ini sudah tentu akan mempengaruhi peratusan yang keluar mengundi kelak,” katanya.

Sementara, Neilson berkata pembubaran Parlimen juga dilakukan dalam keadaan negara belum lagi pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Justeru, beliau berkata sememangnya masih terdapat peraturan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diikuti bagi mengekang pergerakan atau aktiviti semasa pilihan raya dijalankan.

“Adakah pengundi dari jauh akan balik mengundi pada hari pengundian?

“Ini bermakna pengundi perlu diyakinkan bahawa mereka akan selamat daripada wabak Covid-19 apabila mereka datang ke pusat pengundian,” katanya.

Suara Sarawak