PRU-15: GPS pertanding calon hebat

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertandingkan calon-calon yang hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan itu, suara Sarawak akan lebih kuat dalam memperjuangkan hak Sarawak di Parlimen.

“Nasib baik Sarawak aman, kita (kerajaan GPS) dapat fikir hal Sarawak.

“Jadi pertahanlah keamanan Sarawak dan kita hantar wakil rakyat yang hebat di Parlimen dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Semeba dan Kampung Tematu di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata tidak tahu bila PRU-15 akan diadakan.

Beliau turut menyifatkan desakan untuk pilihan raya diadakan lebih awal adalah disebabkan oleh pergolakan antara parti di Semenanjung Malaysia.

“Ini semua disebabkan oleh mereka di Kuala Lumpur, tidak ada kerja lain berkelahi saja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya GPS bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Kita dengar beduk bunyi saja, saya tidak tahu (tarikh pilihan raya),” katanya.

 

Suara Sarawak