PRU-15: GPS umum calon 3 Nov

KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 3 November nanti, dengan dijangka menampilkan 10 hingga 14 muka baharu.

Menurut Premier Sarawak itu, bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tunjang GPS itu akan meletakkan tiga muka baharu.

“Memang setiap kali PRU, kita akan menampilkan muka-muka baharu dan orang muda.

“Tahun lepas PBB memperkenalkan muka baharu di Tanjung Manis dan Sibuti, mereka dalam lingkungan umur muda.

“Kali ini pun demikian juga, kita akan memperkenalkan seorang wanita muda yang berpengalaman dan juga memperkenalkan pemimpin pelapis kita iaitu daripada Pemuda untuk menjadi calon dan juga mungkin PBB ada tiga muka baru,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata demikian dalam temu bual bersama Suara Sarawak, di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.

Selain itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata muka-muka baharu akan turut ditampilkan daripada parti komponen GPS yang lain iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Sudah tentu mereka akan memperkenalkan muka-muka baharu termasuk SUPP, begitu juga PRS memang akan membawa muka baharu kerana mereka telah kalah beberapa kerusi, jadi mereka akan memperkenalkan calo-calon baharu dan muda, begitu juga PDP. Kalau kita jumlahkan, lebih kurang 10 hingga 14 calon baharu,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai calon SUPP, beliau berkata parti yang bertanding di enam kerusi bagi mewakili kaum Cina itu akan menampilkan tiga muka baharu.

“Daripada yang kekal, hanyalah kerusi Parlimen Serian, selain daripada itu akan ada muka baharu ataupun mungkin seorang atau dua orang yang ada kerusi negeri, tetapi pertama kali akan bertanding di peringkat persekutuan pada PRU-15 ini,” katanya.

Manakala mengenai kawasan kontroversi iaitu Parlimen Puncak Borneo dan Parlimen Saratok, Abang Johari berkata isu calon bagi kedua-dua kawasan itu akan selesai dalam masa tiga hari lagi.

“Hampir semua telah dimuktamadkan,” katanya.

 

Suara Sarawak