KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang bersedia untuk merebut kembali kerusi Parlimen Stampin sekiranya diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, sekiranya diberikan peluang beliau tidak akan menolak perkara tersebut.

“Jika saya diberikan peluang, sudah tentu saya akan menerimanya dengan mengatakan ya. Bagaimana saya boleh mengatakan tidak?,” katanya kepada pemberita semasa Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Menaik Taraf Taman di Taman Sunny Hill, dekat sini, hari ini.

BERCAKAP… Lo Khere Chiang bercakap kepada pemberita semasa Penyerahan Projek RTP Menaik Taraf Taman di Taman Sunny Hill, Kuching, hari ini.

Ditanya sejauh mana beliau yakin dapat merampas kerusi Parlimen Stampin daripada pembangkang, Lo Khere Chiang memberitahu beliau sangat yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mendapatkannya semula.

“Tiada sebab mengapa tidak dapat, kita perlu menang dan boleh memenangi kerusi Parlimen Stampin. Kerana tidak ada parti lain yang akan menjaga Sarawak melainkan GPS,” ujarnya.

PRU-14 pada 9 Mei 2018 meyaksikan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berjaya meraih undi 33,060 dengan majoriti 14,221 sekali gus berjaya menewaskan Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang mewakili Barisan Nasional (BN) ketika itu dengan hanya memperoleh 18,839 undi.

Suara Sarawak