KUCHING: Pakatan Harapan (PH) percaya mereka dapat mengulangi semula kejayaan cemerlang pada Pilhan Raya Umum (PRU) tahun 2018 pada PRU ke-15, kali ini.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kesemua parti komponen dalam PH harus bersatu hati untuk mengulangi kejayaan tersebut pada PRU-15.

Chong Chieng Jen ketika ditemui media selepas Program Hadiah Cemerlang STPM 2021 di Ibu Pejabat DAP Sarawak, hari ini.

Jelasnya, PH harus menang dalam pilihan raya ini kerana tidak mahu pemimpin kleptokrat dan yang terbabit dalam rasuah kembali mentadbir negara.

“Kita tidak mahu mereka yang kaki rasuah dan mencuri dana rakyat balik lagi untuk memimpin negara kita.

“Ini akan menjadi sesuatu yang memalukan Malaysia, Sarawak dalam kalangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Hadiah Cemerlang STPM 2021 anjuran Pusat Khidmat Bandar Kuching dan Stampin di Ibu Pejabat DAP Sarawak, di sini, hari ini.

Pada PRU-14, PH yang terdiri daripada parti komponen iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan Bersatu membentuk kerajaan dan mendapat sokongan dari parti Sabah dengan 139 kerusi Parlimen.

Pentadbiran Kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan susulan peletakkan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ahli Parlimen dari Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar dari Kerajaan PH.

Suara Sarawak