Datuk Sebastian Ting

KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengesahkan sudah memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya Datuk Sebastian Ting berkata, pihaknya telah memilih calon-calon yang berpotensi untuk kesemua tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan.

“Kita sudah membincangkan serta memuktamadkan semua senarai calon berpotensi, kesemua cawangan terlibat akan menghantar nama kepada pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita serahkan kepada Pengerusi GPS, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memuktamadkan dan mengumumkan nama-nama itu,” katanya kepada pemberita.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai senarai calon SUPP pada sidang media ‘Kucing di Seluruh Dunia’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya SUPP juga menyenaraikan beberapa muka baharu khususnya barisan pemimpin muda.

Sementara ditanya adakah penyandang Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot akan mempertahankan kerusinya, beliau mengesahkan pihaknya turut mencalonkannya Riot pada PRU-15.

“Ya, Riot adalah penyandang untuk kerusi tersebut dan sudah pasti kita mencalonkannya untuk mempertahankan kerusi Serian,” tegasnya.

SUPP diperuntukkan dengan tujuh kerusi parlimen, yang terdiri daripada Serian, Bandar Kuching, Stampin, Miri, Sarikei, Sibu dan Lanang.

Untuk rekod, SUPP sebagai parti tertua di Sarawak pada PRU-14 bertanding di tujuh kerusi namun hanya memenangi Parlimen Serian dan tewas di Bandar Kuching, Stampin, Miri, Sarikei, Sibu dan Lanang.

Suara Sarawak