PRU-15: Tiada masalah memenangi kerusi Parlimen luar bandar

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai masalah untuk memenangi kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) luar bandar, kata Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Saya percaya tiada masalah untuk berdepan kerusi di kawasan luar bandar, kerana saya sendiri juga merupakan anak luar bandar.

“GPS sudah berusaha sepenuhnya supaya semua kerusi yang ditandingi dapat menang,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemeriksaan kenderaan Carsome Kuching, di sini, hari ini.

Tegasnya, jentera GPS sudah berusaha sepenuhnya untuk menang sejurus selepas sasaran pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita akan turun ‘berperang’ untuk menang demi GPS. Kemenangan ini penting dalam menunjukkan solidariti di Sarawak,” ujarnya.

Sementara, Uggah turut mendedahkan sasaran GPS untuk memenangi kesemua 31 kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada PRU-15 ini.

Tambahnya, kemenangan pada pilihan raya kali ini penting bagi memastikan pembangunan yang telah diusahakan GPS dapat diteruskan.

Tegasnya, usaha pembangunan di Sarawak sejak tempoh lima tahun lalu tidak sepatutnya diganggu, justeru rakyat perlu terus menyokong pembangunan yang telah diterajui GPS.

Suara Sarawak