Datuk Roland Sagah Wee Inn

KUCHING: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada musim tengkujuh tidak akan memberi banyak masalah untuk kawasan Serian.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperhalusi mekanisme dalam mendepani cabaran tersebut.

“Perubahan iklim semasa menyukarkan kita untuk meramal cuaca, musim tengkujuh juga boleh berlaku ketika sepatutnya musim kemarau.

“Malah keadaaan cuaca di sesuatu kawasan juga berlainan, jadi untuk kawasan Serian saya rasa tidak banyak masalah kerana biasanya banjir berlaku dalam sehari atau dua sahaja,” katanya.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Asia ke-12 mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB12) di BCCK, di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah pelaksanaan PRU-15 pada musim tengkujuh akan mempengaruhi jumlah pengundi khususnya di beberapa kawasan di Serian yang sering mengalami bencana banjir, Adun Tarat itu memberitahu beliau tidak pasti.

“Saya tidak tahu. Namun secara amnya hujung tahun memang akan berlaku musim hujan. Saya yakin pihak SPR tahu apa yang perlu dilakukan jika keadaan menjadi lebih teruk,” jelasnya.

Sementara mengulas mengenai kesediaan PBB untuk mengekalkan kerusi parlimen Puncak Borneo, beliau berkata pihaknya akan memastikan calon parti itu mempertahankan kerusi terbabit.

“Kerusi Puncak Borneo mesti ditandingi oleh calon PBB dan kita mesti ia dimenangi,” katanya.

Selain Puncak Borneo, Serian dan Mas Gading juga merupakan kerusi parlimen majoriti Bidayuh.

Suara Sarawak