Datuk Rahman Lariwoo

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) selama tiga tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2022 hingga 31 Julai 2025.

Beliau menyertai 15 ahli lembaga pengarah lain yang dipengerusikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ahli Lembaga Pengarah SSC yang lain termasuk Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Nancy Jolhi.

Selain itu, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Ir Richard Tajan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad.

Turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SSC ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Samarahan Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, Presiden Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Sunny Sii Poh Heng, Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON) Matthew Chin Hiong Choi, Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Sarawak, Richard Song, Presiden Persatuan Menembak Negeri Sarawak Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak Afiq Fadhli Narawi.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan tersebut, Rahman menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Abdul Karim dan SSC kerana memberi kepercayaan terhadap dirinya untuk menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah SSC.

“Terima kasih atas kepercayaan ini. Ia satu penghargaan yang cukup besar kepada saya.

“Sudah tentu saya akan menggunakan kepercayaan ini untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri Sarawak agar kita kembali menjadi kuasa sukan seperti sebelum ini,” ujarnya.

Suara Sarawak