GEDONG: Badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan untuk merancang sekali gus melaksanakan program berimpak tinggi seiring dengan enam teras pembangunan di kawasan Batang Sadong.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) berkata, antara enam teras itu termasuklah pembangunan modal insan, pembangunan sosioekonomi, pembangunan komuniti, belia dan kesukarelawan, pembangunan sukan, rekreasi dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan kerohanian dan nilai.

HADIAH… Nancy menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta pertandingan yang dianjurkan sempena Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1444H/2022M di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, malam tadi.

“Selain itu, pendekatan kita dalam menganjurkan program perlu berasaskan kepada nilai yang dapat menarik minat pelbagai peringkat umur, latar belakang dan masyarakat kerana kita mahu melahirkan generasi yang mengamalkan kesepakatan, kebersatuan hati serta solidariti.

“Walaupun bersifat majmuk dan berbeza latar belakang, tetapi masyarakat kita disatukan dengan kehidupan bersandarkan kepada aspek nilai budaya tinggi dan nilai murni, demi menjamin kemakmuran, kesejahteraan serta kesepakatan sesama ahli masyarakat,” katanya.

RAKAMAN KENANGAN… rakaman kenangan sekitar Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1444H/2022M di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu juga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1444H/2022M di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, malam tadi.

Sebelum menghadiri majlis tersebut, Nancy memaklumkan pada sebelah petang beliau berada di Simunjan untuk menangguhkan Festival Zikir dan Hadrah.

RAKAMAN KENANGAN… rakaman kenangan sekitar Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 1444H/2022M di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, ia merupakan salah satu program pengisian untuk Festival Citrawarna Kesenian dan Kebudayaan Simunjan 2022 bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Daerah Simunjan; yang dianjurkan oleh sebuah NGO, Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (Perkajas).

“Festival ini diadakan sejak September hingga bulan ini dan kemuncaknya adalah Teater Muzikal Puteri Sadong, telah berjaya menarik pengunjung dari serata tempat di negeri ini.

“NGO tersebut juga menggunakan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang disediakan oleh Kementerian Motac; dan telah menunjukkan kesungguhan dalam memastikan matlamat untuk mengangkat bakat muda dalam acara program kesenian dan kebudayaan Simunjan yang mampu menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa dan agama menerusi konsep Keluarga Malaysia, tercapai.

“Oleh itu, dengan penganjuran program sedemikian ia dapat memupuk masyarakat untuk terus bersatu hati supaya menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan yang lebih baik untuk Batang Sadong pada masa hadapan. Insya-Allah,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, sempena sambutan Maulidur Rasul itu juga Nancy menyeru agar masyarakat dapat bersama-sama menghayati peristiwa kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat buat seluruh alam dan juga merupakan pemimpin teragung dunia.

“Saya berharap agar semua dalam kalangan kita yang hadir pada malam ini, memanfaatkan sebaik-baiknya ilmu yang disampaikan agar dapat menjadi ummah yang sentiasa mencontohi keperibadian baginda Rasullullah SAW,” tegasnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan pertandingan zikir, tilawah al-Quran, barzanji dan nasyid.

Suara Sarawak