Datuk Len Talif Salleh menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima Anugerah Pelatih Cemerlang.

KUCHING: Golongan belia di Sarawak digalakkan untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha ini selaras dengan sasaran Kerajaan Sarawak untuk mencapai status negeri berproduktiviti tinggi serta mampu melahirkan generasi berdaya saing menjelang tahun 2030.

“Industri pembinaan merupakan antara penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi Malaysia khususnya di negeri ini. Kerajaan Sarawak mengunjurkan suntikan modal berjumlah RM100 bilion menjelang tahun 2028 untuk pembinaan infrastruktur asas termasuk jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, serta rangkaian telekomunikasi.

“Ini bermakna peluang kerjaya di dalam sektor pembinaan di sini adalah sangat luas dan ia wajar direbut oleh semua belia di negeri ini supaya kita tidak bergantung kepada tenaga kerja dari luar negeri atau luar negara,” katanya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Teknologi 2022 di Kuching, hari ini.

Katanya, pembangunan Sarawak juga memberi penekanan dalam pelbagai projek-projek mega, oleh itu rakyat negeri ini hendaklah merebut peluang pekerjaan yang disediakan untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Terdahulu, majlis tersebut menyaksikan seramai 120 orang pelatin ABM Wilayah Sarawak dan CIDB Teknologi menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) CIDB.

Pelatih-pelatih yang diraikan berjaya memperolehi SKKP CIDB melalui latihan dan penilaian yang diambil berdasarkan 10 tred dalam latihan kompetensi kemahiran Pembinaan yang meliputi kluster bidang Bangunan, Jentera Berat, Pendawaian Elektrik dan Kimpalan. Majlis diadakan di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak.

 

Suara Sarawak