KUCHING: Dalam tempoh sehari sahaja, jualan kraf tangan dan tekstil sempena Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2022 menjangkau hampir RM200,000.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ia membuktikan festival yang disertai pelbagai negara antarabangsa itu mendapat sambutan amat menggalakkan setelah dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Abang Johari menyempurnakan acara ‘menitik mata naga’ sekali gus merasmikan perlumbaaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2022 di Tebingan Sungai Kuching, hari ini. – Foto ALIF NONI

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa ini secara tidak langsung telah memberikan limpahan pendapatan kepada usahawan-usahawan tempatan yang terlibat.

“Saya difahamkan, walaupun baharu dibuka semalam, jualan kraf tangan di sini sudah meningkat hampir RM200,000. Ia disertai oleh usahawan dari seluruh pelusuk negeri termasuk Bintulu dan Miri termasuk Semenanjung,” katanya.

Abang Johari bergaya dalam gambar kenangan bersama-sama para peserta. – Foto ALIF NONI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Gerai Kraf Tangan Tekstil dan Dapur Sarawak sempena Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2022 di sini, hari ini.

Lebih 90 gerai menjual hasil kraf tangan dan tekstil dengan melibatkan hampir 100 pengusaha pada festival yang bermula 28 Oktober hingga 6 November. Antaranya perhiasan manik, kain songket, produk kayu dan rotan serta banyak lagi hasil seni tempatan.

Abang Johari bergaya dalam gambar kenangan bersama-sama para peserta. – Foto ALIF NONI

Terdahulu, Abang Johari menyempurnakan acara ‘menitik mata naga’ sekali gus merasmikan perlumbaaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak yang disertai 16 negara itu.

Perlumbaan disertai lebih 2,000 pekayuh tersebut bertarung untuk merebut gelaran juara dalam kategori masing-masing yang bernilai lebih RM100,000 dalam bentuk wang tunai serta piala.

Suara Sarawak