Remaja 15 tahun diperintahkan bon selama setahun

KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan bon berkelakuan baik selama satu tahun dengan ibu sebagai penjamin tanpa deposit oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki harta curi sebuah motosikal milik seorang lelaki berusia 26 tahun, Ogos lalu.

Tertuduh berusia 15 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai menjual barang-barang pertanian di Jalan Jambu, di sini, sekitar jam 1.30 petang, 26 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri sekali setiap bulan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) sepanjang tempoh bon.

Menurut fakta kes, pada 21 Ogos lalu, pengadu membuat laporan polis mengenai kehilangan sebuah motosikal miliknya hilang dicuri orang yang tidak dikenali ketika diletakkan di hadapan rumah.

Bertindak atas maklumat, tertuduh ditangkap bersama barang kes iaitu sebuah motosikal di hadapan sebuah kedai barang-barang pertanian sekitar jam 1.30 petang, 26 Ogos lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak