REMUK… Keadaan kenderaan Perodua Myvi yang remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Batu 20 Jalan Bintulu -Bakum, petang tadi.

BINTULU: Seorang remaja lelaki maut, manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan kenderaan Perodua Myvi dan pacuan empat roda Hilux di Batu 20 Jalan Bintulu – Bakun, petang tadi.

Mangsa, Melvin Davis Ding Thomas Entinggan,17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 petang sebelum mengerahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi.

Katanya, sejurus tiba pasukan bomba di lokasi, mangsa didapati telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Asap menggunakan ambulans.

“Tiada tindakan operasi penyelamatan dijalankan.

“Pihak bomba hanya membuat kerja-kerja mengalihkan kereta Perodua Myvi ke bahu jalan,” kata PGO dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu tambah PGO, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai setelah didapati keadaan selamat dan terkawal.

REMUK… Keadaan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Batu 20 Jalan Bintulu -Bakum, petang tadi.

Suara Sarawak