KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melanjutkan tempoh tahanan reman selama lima hari terhadap seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes melanggan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun untuk aktiviti seksual.

Majistret Zubaidah Anuar membenarkan lanjutan tahanan reman sehingga 10 Oktober depan, terhadap suspek kedua yang berusia 44 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut selepas tempoh tahanan reman selama tujuh hari berakhir hari ini (6 Oktober).

Difahamkan, suspek kedua berjaya ditahan oleh pihak polis pada 29 September lalu.

Suspek kedua dibawa keluar oleh anggota polis selepas perintah reman dilanjutkan di Mahkamah Majistret, di Kuching, hari ini.

Selain itu, di mahkamah yang sama turut memerintahkan reman selama tujuh hari terhadap suspek keempat yang merupakan seorang warga emas berusia 63 tahun bermula dari 5 Oktober hingga 11 Oktober depan.

Terdahulu, Majistret Zaiton Anuar memerintahkan suspek pertama, bapa kandung mangsa dilanjutkan reman selama tujuh hari bermula 3 hingga 10 Oktober depan.

Manakala, suspek ketiga berusia 45 dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 Oktober lalu, selepas selesai siasatan.

Berdasarkan laporan media terdahulu, seorang bapa disyaki menjual anak perempuannya kepada rakannya untuk aktiviti seksual. Mangsa kemudian memberitahu mengenai tindakan itu kepada gurunya sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu sidang media menyatakan, suspek pertama berjaya ditahan pada 27 September lalu, sekitar jam 2 petang di kawasan Matang.

Kes disiasat di bawah seksyen yang berbeza iaitu Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.

Suara Sarawak