Gambar hiasan

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan anak-anak di Sabah dan Sarawak.

“Ia melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak,” katanya ketika Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baharu dengan kos 430 juta ringgit melibatkan SMK Nabalu Sabah, SMK Dudong Sarawak, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam Selangor.

Dalam perkembangan berlainan, katanya, kerajaan juga akan membina sebanyak 3,000 rumah baharu dengan separuh daripadanya di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM460 juta.

“Selain itu, untuk menggalakkan Keluarga Malaysia menggunakan pengangkutan awam, RM180 juta disediakan untuk menambah baik capaian bas awam kepada warga di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kerajaan menyediakan subsidi perkhidmatan pengangkutan udara sebanyak RM209 juta khusus bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak

“Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang kedua-dua negeri ini dengan membina wheelchair ramp untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASWings,” ujarnya.

Katanya lagi, sebanyak RM420 juta untuk pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga menambah 25 pos kawalan sempadan PGA, Imigresen, Esscom, APMM antaranya di Serikin Sarawak dan Lahad Datu Sabah,” tambahnya.

Suara Sarawak