KUALA LUMPUR: Bajet 2023 memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM332 bilion dan Bajet 2021 yang berjumlah RM322 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama ini menyediakan RM272.3 bilion bagi Belanja Mengurus dan RM95 bilion bagi Belanja Pembangunan.

“RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, sejumlah RM2 bilion disediakan sebagai Simpanan Luar Jangka,” kata beliau ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam.

Bajet 2023 yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September tahun lepas.

Tengku Zafrul berkata Bajet 2023 dipandu oleh 3R – Responsive, Responsible, Reformist (Responsif, Bertanggungjawab, Reformis).

“Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, Orang Kurang Upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat,” katanya.

Beliau berkata belanjawan ini juga bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang.

Bajet ini juga bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang, katanya.

Tengku Zafrul berkata Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih insklusif dan mampan di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.

“Bajet ini juga tidaklah dirangka untuk golongan tertentu sahaja, tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul, telah teliti dan diadun menjadi satu – ialah sebuah Bajet 2023 hasil ilham Keluarga Malaysia.

“Lebih inisiatif rakyat akan direalisasi sebagai sebahagian usaha holistik yang terkandung di dalam naskhah besar ini, terima kasih kepada semua yang menzahirkan segala idea dan pandangan,” katanya.

Beliau berkata dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, kerajaan akan terus melaksana dasar fiskal yang mengembang, pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.

Berbekalkan ruang fiskal yang ada, keutamaan Bajet 2023 tertumpu kepada usaha melindungi kebajikan rakyat.

Suara Sarawak