BERCAKAP… Rubiah menjawab soalan pemberita

KOTA SAMARAHAN: Peruntukan bajet berjumlah RM5.6 bilion kepada Sarawak dalam Bajet 2023 penting bagi memacu pembangunan secara menyeluruh di Sarawak.

Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, meskipun keadaan ekonomi masa kini semakin mencabar, Sarawak masih menerima peruntukan malah meningkat berbanding tahun lepas.

“Sebanyak RM4.6 bilion diperuntukkan tahun lepas dan meningkat kepada RM5.6 bilion tahun ini. Kita berharap agar pembangunan dan kemajuan pelbagai aspek dapat ditingkatkan lagi di negeri ini menerusi peruntukan yang disediakan.

“Selain aspek pembangunan, bajet kali ini juga diharap dapat memberi manfaat terhadap sektor keusahawanan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul 1444H Bahagian Samarahan di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rubiah berharap agar Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan yang lebih banyak untuk Parlimen Samarahan pada tahun ini.

Menurutnya, Kota Samarahan sedang pesat membangun dengan pelbagai projek giat dijalankan terutama melibatkan kemudahan fasiliti, jaringan jalan raya dan sebagainya.

“Di peringkat bahagian dan daerah, kita mempunyai perancangan berdasarkan strategi untuk pembangunan di Samarahan. Kita percaya, Samarahan akan mendapat peruntukan yang lebih bagi pelaksanaan pembangunan yang ditetapkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan sebanyak RM5.4 bilion diperuntukan dari Bajet 2023 yang bernilai RM372.2 bilion kepada Sarawak.

Katanya, dana tersebut diberikan bagi menjalankan usaha membangunkan kemudahan infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan kepada rakyat.

Suara Sarawak