Rompak: Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis.

KUCHING: Padah merompak pekerja sebuah kedai runcit mini dengan bersenjatakan sebilah samurai dan pisau serta mengambil wang berjumlah RM500, dua rakan baik masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini,hari ini.

Hakim Mohd Taufik Mohd@ Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman terhadap Marzuki, 22, dan Zamri, 26, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah kedai runcit mini di Jalan Ban Hock Padungan, kira-kira jam 6.48 petang, 4 Oktober lalu.

Menurut fakta kes, mangsa lelaki membuat laporan polis selepas kejadian berlaku lebih kurang jam 7.15 petang.

Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menangkap Marzuki pada 5 Oktober lalu, Manakala Zamri ditangkap sehari selepas Marzuki pada 6 Oktober lepas.

Sebelum dijatuhi hukuman, Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas kedua-dua tertuduh kerana mengambil berat kesalahan yang dilakukan, kerugian yang dialami kedai, dan kesan trauma kepada mangsa.

Selain itu, Danial menambah kes begini kerap berlaku dan sering dilaporkan oleh media.

Oleh itu, kes tersebut harus dijatuhkan hukuman berat kerana mengambil kira keselamatan masyarakat yang perlu dilindungi.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak