KUCHING: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menyaksikan pelantikan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) baharu, Asisten Komisioner Roselina Daud secara rasmi hari ini.

Sebelum dilantik sebagai Ketua JIPS Sarawak, Roselina menjawat jawatan Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman D4 (Risikan dan Operasi).

SERAH TUGAS…Mancha (dua kiri) menyaksikan penyerahan tugas Ketua JIPS Sarawak antara Tansli (kiri) dan Roselina (kanan).

Penyerahan tugas oleh Deputi Superintendan Tansli Mering kepada Roselina disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam satu majlis serah terima tugas di Mes Pegawai Polis di IPK Sarawak.

Dalam majlis yang sama, Mancha turut menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Simunjan antara Asisten Superintendan Honchin Ludu kepada Deputi Superintendan Wong Tee Kue.

Mancha (dua kiri) menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Simunjan antara Honchin (kiri) dan Tee Kue (kanan).

Selain itu, turut diadakan penyerahan tugas Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan antara Rohida Zaidel dan Tan Poh Choo.

Mancha dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Roselina dan Tee Kue atas pelantikkan mereka.

Sementara itu, Roselina dalam ucapannya berkata, Sarawak bukan kontinjen yang pertama beliau bertugas kerana pernah berkhidmat dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di IPK Kuala Lumpur dan Johor.

“Dengan pengalaman-pengalaman saya ada, serba sedikit saya boleh menjalankan tugas Ketua JIPS di Sarawak,” katanya ringkas.

Suara Sarawak