Gambar hiasan

SIBU: Seorang penjawat awam wanita di sini berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM12,550 kerana diperdaya sindiket menjual emas dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 45 tahun itu pada mulanya berhasrat mahu membeli seutas gelang emas ‘pulut dakap’.

Jelas beliau, mangsa mengetahui tawaran gelang emas itu melalui laman sosial Facebook.

“Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran itu telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan membuat bayaran secara ansuran sejak Januari hingga Mac tahun ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian berjumlah RM12,550 serta dijanjikan barangan akan dipos terus ke alamatnya.

“Namun setelah mangsa selesai membuat kesemua pembayaran, suspek telah memberi pelbagai alasan untuk menghantar gelang emas yang dibeli itu.

“Sehingga kini barang kemas yang dibeli mangsa masih belum diterimanya lagi,” ujar beliau.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada Ahad lalu.

Tambah Zulkipli lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sebagai langkah pencegahan orang ramai juga diminta membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan juga boleh menghubungi ccid Scam Response Centre di talian 03-26101559 dan 03-26101599,” kata beliau.

Suara Sarawak